Anjingku telah mati.
Aku tanamnya di dalam kebun
bersebelahan sebuah mesin lama berkarat.
Kelak aku akan bersamanya di sana,
namun dia pergi selamanya membawa bulu kusut,
perilaku buruk dan hidung berhingus,
dan aku, sang materialis, yang tidak pernah percaya
dengan janji sebuah syurga di langit
untuk setiap manusia,
aku percaya pada syurga yang bukan dicipta untukku.
Ya, aku percaya wujud syurga untuk anjing-anjing
di mana anjingku akan menanti ketibaanku
mengibas-ngibas ekornya sebagai tanda persahabatan.
Heh, aku tidak mahu berbicara tentang kesedihan
kerana kehilangan sang peneman
yang tidak pernah taat.
Persahabatan kami bagiku, adalah umpama seekor landak
mempertahankan wilayahnya,
persahabatan yang terasing
dengan kemesraan yang tidak pernah berlebihan,
dengan tidak keterlaluan:
dia tidak pernah mengotorkan bajuku
dengan bulu gugur atau kudisnya,
dia tidak pernah menyendeng di lututku
seperti anjing-anjing lain ketagih untuk mengawan.
Tidak, anjingku sering merenungku,
memberi perhatian secukupnya kepadaku,
perhatian yang memastikan
manusia sepertiku faham bahawa
seekor anjing sepertinya tidak pernah peduli,
tetapi, dengan mata yang lebih suci daripadaku,
dia berterusan merenungku
dengan pandangan yang sungguh istimewa
Kehidupannya kadang ceria dan kadang kusut,
sentiasa dekat denganku, tidak pernah membebankanku,
dan tidak pernah meminta sesuatu dariku.
Heh, betapa aku cemburukan ekornya
sewaktu kami bersiar-siar di tepi pantai
pada musim sejuk yang sepi di Isla Negra
burung-burung berhijrah memenuhi dada langit
dan anjingku melompat-lompat
keseronokan melihat pergerakan air laut:
anjingku merayau-rayau, menghidu
sambil ekor keemasannya terangkat tinggi,
sewaktu bersemuka dengan percikan ombak.
Girang, girang, girang,
seolah-olah anjing hanya tahu untuk berasa gembira
dengan dibantu oleh
semangat galak mereka.
Tiada ucapan selamat tinggal buat anjingku,
dan kami tidak akan dan tidak pernah menipu sesama sendiri.
Kini dia telah pergi selamanya dan aku telah menanamnya,
dan cuma itu, tiada lagi apa-apa.
Terjemahan (bebas) puisi Pablo Neruda