Saya pulang beraya ke Sungai Petani. Tiada apa yang istimewa, kecuali tahun ini saya memandu seorang diri pulang ke kampung. Dan baru saya sedar bahawa saya mampu untuk memandu laju, kalau saya mahu. But most of the time, I prefer not to.
Tahun lepas saya tidak pulang beraya, kerana saya bercuti bersama kawan-kawan di Pulau Pinang. Jadi tahun ini, pak sedara dan mak sedara mengerumuni saya untuk menuntut duit raya yang tertunggak. Saya hanya ketawa, dan separa bergurau berkata, "Tunggu dulu. Tak pi tukaq duit lagi."
Mereka - pak sedara dan mak sedara - risaukan masa depan saya. Tak sambung belajar? Tak cari kerja lain? Cukupkah untuk tampung hidup?
Ikutkan hati, saya ingin balas kepada mereka, yang saya adalah manusia paling risau tentang masa depan saya, lebih daripada sesiapa pun dalam dunia ini. Tetapi saya kira, untuk sering susah hati hanya kerana memikirkan perkara-perkara begitu, tidak lagi berbaloi pada usia ini.
Namun saya pilih untuk balas: InsyaAllah, cukup.
Saya sedikit terharu untuk tahu bahawa masih ada manusia-manusia yang peduli tentang diri ini, despite kami bertemu - paling kurang - hanya setahun sekali.
Raya tahun ini buatkan saya sedar, nilai hari raya saya bukan lagi terletak pada berapa amaun dalam sampul, berapa pasang baju raya, berapa banyak belanja, dan berapa jauh saya pulang beraya.
8:02PM Khamis 31 Julai 2014
