“You’re lucky,” aku kata kepada Nancy sewaktu kami sedang meluangkan masa di ruang tamu. Langit di luar beransur-ansur gelap. Aku toleh melihat jam, sudah hampir waktu Maghrib. Segera aku bangun untuk menutup pintu rumah dan tingkap-tingkap terbuka sebelum beredar ke dapur untuk mengambil segelas air kosong.
Di dalam sinki masih ada lagi perkakas memasak yang belum dibasuh. Hasil dari percubaan untuk memasak, yang kurang menjadi. Ini mengingatkan aku bahawa belajar memasak dari laman YouTube bukanlah idea yang bagus.
Aku labuhkan punggung di sofa. Tivi sedang menayangkan sebuah rancangan masakan yang sudah bersiaran selama lebih kurang setengah jam. Aku sedang menyaksikan sebuah episod di mana pengacaranya menjemput seorang selebriti untuk turut sama membantunya di dapur. Menonton rancangan sebegini membuatkan perut aku lapar. Hidangan yang dimasak juga nampak menyelerakan. Aku teruskan menonton sambil pengacara itu menyebut-nyebut nama hidangan yang sungguh asing bunyinya.
“The best part is, you don’t have to go to work,” aku kata lagi. Dia tidak memberi sebarang reaksi. Malah tanpa peduli untuk menoleh ke arahku. Matanya terpaku pada siaran di kaca tivi.
“But of course you don’t have to. You’re a cat,” aku capai gelas di sebelah dan mengambil tegukan pertama. Aku pikul Nancy dan letakkan dia di atas riba. Aku usap bulunya perlahan-lahan.
Kawan aku kata ini adalah sejenis terapi. Membela, memberi makan minum, menyediakan tempat tinggal, mengusap dan membelai haiwan peliharaan mampu menerbitkan rasa tenang. Sudah menjadi lumrah manusia untuk memerlukan teman bicara. Untuk itu, sesetengah manusia mengatasi kesunyian dengan bersosial bersama keluarga dan kawan-kawan. Sesetengah bercakap dengan diri sendiri. Sesetengah, seperti aku, bercakap dengan haiwan peliharaan.
Tidak kira dengan siapa atau apa manusia berkomunikasi, pokok pangkalnya seseorang itu memerlukan teman bicara. Sebagai tempat untuk berkongsi dan meluahkan perasaan yang tersimpan di dalam hati.
Aku letakkan Nancy di lantai semula. Dia berjalan perlahan menuju ke arah dapur.
“We should buy collar for her,” aku teringatkan cadangan oleh S tempoh hari. “For what?” aku tanya semula.
“Just in case she went missing, we stand a better chance to found her back if she wears one,” balas S.
Nancy adalah salah seekor kucing yang tinggal di rumahku. Seekor lagi bernama Cheetah. Sekurang-kurangnya mereka dapat sama-sama menjadi teman bermain. Berkejaran dalam apartmen kecil ini, memanjat rak buku, tidur di bawah sofa.
Ada ketukan di pintu depan. Aku beralih posisi melihat jam dinding. Aku tahu S baru pulang.