Rabu, 9 Mei 2012

Sebuah cerpen dalam cerpen yang gagal

Aku terjaga selepas mendengar suara Amir memanggil nama aku dari luar pintu bilik, sambil mengetuk pintu berulang kali.

“Weh, bangun. Jom breakfast,” Amir pelawa.

Aku pandang jam dinding. Jarum menunjukkan pukul 8 pagi. Hari ini adalah hari Ahad. Hujung minggu di mana kebanyakan manusia bersenang-senang, berehat dari urusan kerja yang menyesakkan atau sekadar menghabiskan sisa hujung minggu bersama manusia tersayang di rumah. Oleh itu, pelawaan bersarapan pagi di pagi Ahad mungkin merupakan perkara paling kelakar di dalam dunia sedangkan aku sepatutnya sedang tidur nyenyak di atas katil. Tetapi tak mengapa, aku fikir. Kali terakhir aku dan Amir bersarapan pagi bersama adalah... lama dahulu. Ahh, aku sudah lupa.

“Mana?” aku tanya sebaik melangkah keluar dari pintu bilik, sedikit mamai.

“Mana apa?” Amir soal semula, kurang jelas.

“Kita nak breakfast dekat mana?” aku ulang semula ayat, dengan frasa yang lebih teratur.

“Kau ikut je,” balasnya, “Cepat, aku tunggu. Setengah jam. Setengah jam je aku bagi.”

Aku menggeliat malas. Masuk semula ke bilik dan membuka tingkap untuk membenarkan udara segar pagi menyapa masuk ke dalam ruang bilik. Cuaca di luar cerah. Langit juga tidak menunjukkan tanda-tanda hujan bakal turun.

Sambil berjalan ke bilik air, aku angkat baju dan seluar yang berada di lantai bilik sebelum membalingnya ke dalam bakul pakaian kotor. Aku tepuk dahi. Aku baru teringat, dobi! Duh, mana ada kedai dobi yang buka pada hari Ahad.

Selesai mandi dan bersiap, aku segera menuju kepada Amir yang menunggu di ruang tamu. Dia sedang menonton rancangan bual pagi serba menjengkelkan menampilkan seorang pengacara lelaki berkacamata yang tidak henti-henti bercakap.

Sesampai di hadapan kedai makan, Amir kata, “Inilah tempatnya.”

Aku pandang ke arah papan tanda kedai makan tersebut. Ianya sebuah kedai makan bangsa Cina. Aku hanya mampu ketawa dan berkata dalam hati, “Entah halal ke tidak ni.”

“Apa yang istimewa dekat sini?” aku tanya Amir sambil mata melilau melihat meja sekeliling yang rata-rata dipenuhi pelanggan Cina. Terdapat juga beberapa orang pelanggan Melayu. Tidak begitu sukar untuk mengenalpasti mereka. Ini aku tahu melihatkan kepada warna kulit mereka yang hampir sama tonanya seperti aku.

“Chee cheong fun!” Amir kata, dengan nada penuh teruja.

“Chee cheo— Apa benda tu?” aku tanya semula.

“Chee cheong fun. Sedap, kau cubalah dulu.”

Amir beritahu, chee cheong jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu bermaksud usus babi, manakala fun pula membawa maksud mee. Tambahnya lagi, mee ini dibuat secara tradisional oleh pemilik kedai menggunakan campuran tepung beras dan kanji jagung serta beberapa ramuan ringkas lain.

Melihatkan air muka aku sedikit berubah tatkala mendengar perkataan usus babi, Amir lantas ketawa, “Memang la kalau terjemah namanya usus babi tapi hidangan ni dah diubahsuai mengikut kesesuaian masyarakat setempat. Jangan risau, perkataan usus babi itu sebenarnya simbolik kepada gulungan mee yang nampak macam usus babi. Di sini kau boleh pilih nak letak ayam atau udang. Tak ada babi.”

Hidangan tiba di meja makan dituruti dengan teh ais yang aku pesan. Cara penyampaiannya saling tak tumpah seperti kway teow. Cuma bezanya ia tidak digoreng seperti kway teow. Juga tiada sayuran yang digaul bersama. Pendek kata, tiada dekorasi atau hiasan nyata di atas hidangan ini melainkan taburan bijan putih.

Menurut Amir, hidangan ini mempunyai banyak pecahan mazhab, bercambah variasinya. Malah berbeza-beza cara penyediaan dan penyampaian mengikut selera dan citarasa setempat. Katanya, sewaktu menjamah hidangan ini di Pulau Pinang, kuahnya lebih likat serta kurang manis. Juga ditaburi dengan bijan putih yang lebih banyak.

Aku ambil kunyahan pertama dan ianya tidak mengecewakan. Teksturnya lembut dan kenyal, diselaputi sedikit rasa manis kuahnya yang tidak keterlaluan. Isi udang yang segar juga membantu menambah rasa terhadap hidangan ini. Aku juga mengambil kesempatan menggaul mee bersama sedikit sambal yang diberi dalam mangkuk kecil.

“Kau pergi mana semalam?” Amir mulakan perbualan. Mulutnya ligat mengunyah makanan.

“Tak pergi mana pun. Aku pergi jumpa kawan je,” aku berdalih. Mata aku tertumpu kepada makanan, cuba mencari isi udang.

“Lambat kau balik semalam,” Amir kata dalam nada penuh sinis.

“Aku ada hal sikit, itu yang jadi lambat—

“Kau pergi jumpa dia?” Amir cantas.

Aku pandang wajah Amir sambil ketawa. Celaka, sia-sia aku cuba menipu.

Amir merupakan rakan sekelas merangkap rakan serumah. Aku mula mengenalinya setelah berada di dalam kelas yang sama dua tahun lepas. Dia seorang yang mudah didekati dan tidak banyak kerenah. Senang cerita, aku selesa berkawan dengannya.

Amir juga ketawa melihat aku, lalu berkata, “Lain kali tak payah tipu. Aku mesti tahu punya.”

Serentak itu, telefon bimbit aku berbunyi menandakan ada teks pesanan tiba ke dalam peti masuk.

Pesanan teks dari seseorang, “Busy tak malam ni? Jom dinner sama-sama.”

Tiada ulasan: