“Mana makanan ni? Lambatnya sampai,” aku rungut. Perut aku sudah mula berbunyi sejak tadi. Menunggu makanan yang lambat sampai adalah perkara paling menjengkelkan dalam dunia.
Dia hanya ketawa kecil. Dia yang aku maksudkan adalah seorang perempuan yang berada di hadapan mataku. Sedari tadi aku leka meneliti long cardigan berwarna kelabu tanpa butang hadapan yang dipakainya. Aku suka. Sesuai dengan susuk tubuhnya.
“Nanti mesti sampai. Tunggulah kejap.” Dia cuba memujuk.
Hidangan tiba di meja makan. Aku ucap terima kasih dengan tersenyum paksa memandang pelayan yang menghantar pesanan. Aku pesan nasi goreng kampung. Dia pula pesan bihun tomyam. Sesudah selesai menjamahnya, terus terang aku cakap, nasi goreng kampungnya memang hampeh. Kebanyakan restoran yang aku kunjungi, termasuk restoran yang ini, ternyata mengecewakan.
Aku meraikan perbezaan yang cuba dibawa tetapi ianya berdosa dari segi hukum masakan untuk mencampurkan bahan-bahan seperti sosej, nugget, tomato (Tomato? Buat lawak ke apa?) ke dalam nasi goreng kampung. Nasi goreng kampung sebenar tidak mengada-ngada.
Cukup sekadar hidangan ringkas yang membangkit nostalgia bau-bauan sambal belacan dan ramuan ringkas. Berlainan dengan apa yang dihidangkan di hadapan aku, nasi goreng kampung tiba-tiba bertukar menjadi nasi goreng cacamarba. Terlalu banyak bahan tidak penting yang dicampur sehingga aku terpaksa menguis bahan-bahan tersebut dari dalam pinggan hanya sekadar untuk mencari sesuap nasi.
Kadangkala, dalam menyediakan makanan, kesederhanaan lebih baik. Just nais bak kata mat saleh. Daripada mencuba terlalu keras, lebih baik bersederhana. Sekurang-kurangnya duit aku, selaku pelanggan, tak dilaburkan ke arah sesuatu yang... tidak sedap!
“Hujung minggu ni awak busy tak?” Dia tanya selepas melihat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Hmmm.” Aku pandang wajahnya. “Tak kot. Kenapa?”
“Saya nak ajak awak pergi birthday party kawan saya hari Ahad nanti.” Dia tanya lagi, memandang tepat ke arah mata aku. Mengharapkan sebuah jawapan.
“Tak berani nak janji sekarang. Apa-apa nanti saya bagitau okay?” Aku tersenyum sambil membalas.
Selesai urusan pembayaran di kaunter, aku hantar dia pulang ke rumah. Di hadapan rumahnya, kami berbual kosong untuk memadamkan kesunyian malam. Berbual kosong tentang perkara yang berlaku di sekeliling, juga bercerita perihal manusia lain. Aku selesa berbual bersemuka dengannya. Melihat tepat ke dalam mata, menduga hati dan perasaan. Dimulakan dengan perbualan telepati sambil diselang seli dengan senyum dan ketawa kecil.
Dalam setiap perbualan, aku selalu anggap diri sebagai seorang yang pasif. Lebih banyak menerima, daripada memberi. Pasif pun bukan sebarang pasif, kerana aku percaya, aku adalah seorang pendengar yang baik. Aku cuma perlukan seseorang yang aktif berbual, untuk merangsang aku berbual bersama.
Kerana itu, kadangkala, aku lebih senang duduk diam dan menikmati perbualan manusia lain. Atau dalam kes ini, hadam perbualan dia satu persatu dan mencerna segalanya perlahan-lahan seorang diri. Kemudian, merenung muka dia dalam-dalam, dan berkata dalam hati, “I love everything about you.”
“Why do I keep falling in love with you?” aku tanya dengan tidak semena-mena. Memecahkan monopoli dia di dalam perbualan kami. Soalan retorik yang tidak sepatutnya aku hamburkan kerana jawapannya sudah begitu ketara.
Atau aku sendiri yang masih lagi samar-samar?
Terasa separuh beban dalam diri sudah bebas keluar dengan bertanyakan soalan tersebut. Jawapan yang bakal aku terima dari dia tidak penting. Aku tidak mampu untuk berterusan memendam perasaan cinta ini. Aku benar-benar tidak takut untuk terluka.
Aku... benar-benar tidak peduli!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan