Isnin, 23 Januari 2012

Kg. Cina FC

Jadi aku tiba di gelanggang futsal, bukan untuk mengeluarkan peluh tetapi sekadar menjadi pemerhati, seperti kebiasaan. Sejujurnya, aku sendiri sudah lupa kali terakhir aku bermain futsal. Mereka berkali-kali memujuk (atau memaksa?) aku untuk sama bermain. "Jom la main. Aku bayar separuh," Amir memujuk.

"Sejam je. Bukan selalu kita main," giliran Hazrul pula memujuk. Tambah kelakar, Cahir, tanpa diduga, turut membawa seluar lebih untuk aku. "Ni aku dah bawa seluar lebih. Cepat la pergi tukar. Kita tak cukup player ni."

Semua pujukan itu, aku patahkan dengan membalas ringkas, "Malas."

Menyedari usaha memujuk aku adalah perkara sia-sia, maka mereka teruskan permainan. Selesai bermain, kami lanjutkan sesi koya post-mortem permainan sebentar tadi di sebuah kedai makan sambil menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Manchester United menentang Arsenal. Menonton siaran langsung di layar putih, yang bagaimanapun, paparannya kabur dan kurang jelas. Serta-merta membunuh selera aku untuk  terus menonton.

Nevertheless, I really enjoyed myself. Maksud aku, duduk semeja bersama sekumpulan kawan lama, ditemani kenangan zaman persekolahan yang ditabur sepanjang perbualan. Kami tidak pernah letih menyelongkar memori indah sewaktu menuntut di bangku sekolah, yang membantu dalam membentuk perwatakan kami hari ini. Hakuna matata!

Tiada ulasan: