Sabtu, 1 Ogos 2015

Racun minda

Petang tadi, aku luangkan sedikit masa dan pergi melawat seorang sepupu yang baru lepas bersalin. Anak ketiga. Bayi perempuan. Sedikit tips: jangan terus tanya jantina samada lelaki atau perempuan.

Aku belajar ini selepas ditarik telinga dan dibebel, "Penat je aku bagi anak aku pakai baju warna pink. Mesti la perempuan." Kemudian aku tanya nama apa. Nur apa-entah-dah-lupa. Malas untuk bertanya buat kali kedua, kerana peluang untuk nama itu kekal dalam ingatan adalah sungguh tipis.

Berapa orang anak-anak kepada sepupu-sepupu aku, entahlah, aku sendiri tak pasti. Kerana setiap kali pulang ke kampung, pasti ada bayi baru yang membuatkan aku spontan bertanya, "Ini anak siapa pulak?"

Selalunya soalan ini dibalas dengan siri-siri bebelan. "Itu la hang. Jarang balik kampung sampai anak sepupu sendiri pun tak kenai langsung."

Mereka, yakni anak-anak kepada sepupu-sepupu aku, panggil aku dengan pangkat atau gelaran pak long. Umur aku baru dua puluh empat tahun, maka sudah tentu tak kena dengan panggilan pak long. Pak long adalah sesuatu yang tidak cool. Ia untuk orang-orang tua.

Jadi aku pesan kepada mereka. "Jangan panggil pak long. Panggil uncle. Uncle Alep."

Now that sounds better, no?