Ahad, 15 April 2012

Surround me, surround me

Kelmarin, aku luangkan masa menonton filem Battleship (2012) bersama-sama Hazrul, Sepul dan Fairuz. Sudah lama kami tidak keluar bersama memandangkan masing-masing sibuk dengan hal kerja dan urusan peribadi.

Sepul kini menjalani latihan industri di sebuah syarikat subcon. Fairuz pula tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum bakal menamatkan kursus klinikal di sebuah hospital, yang tidak sampai lima minit perjalanan dari rumahnya. Hospital di mana Hazrul juga sedang bekerja sebagai kakitangan secara sambilan. Oleh kerana sehari suntuk bekerja, peluang untuk kami berjumpa hanya tiba pada waktu hujung minggu atau cuti umum.

"Celaka," aku maki dalam hati. Tiba lewat menyebabkan kami terlepas beberapa minit awal permulaan filem. Dalam samar kegelapan, panggung penuh sesak. Kelihatan deretan kepala manusia mengisi hampir segenap ruang tempat duduk.

Sudahlah lewat, aku terpaksa berlaku tidak sopan dengan menghalang seketika penglihatan manusia lain yang sedang khusyuk menonton. Dalam kes ini, aku harus merentasi dua orang gadis comel berbangsa Melayu (sekadar meneka) untuk sampai ke tempat duduk.

Situasi ini mengingatkan aku kepada sepotong dialog yang diucapkan oleh Tyler Durden dalam filem Fight Club (1999), "Now, a question of etiquette - as I pass, do I give you the ass or the crotch?"

Apa-apapun, filem ini ternyata indah khabar dari rupa. Tidaklah begitu bagus seperti yang aku harapkan. Bagi aku, jalan ceritanya tidak kemas malah terkesan membosankan. Namun seperkara yang perlu diakui, teknik CGI-nya jelas mengagumkan walaupun siri letupan maha dahsyat bersepah-sepah diulang dengan kadar tidak masuk akal.

Ini boleh difahami melalui posternya yang sedia tertulis, "From Hasbro the company that brought you Transformers." Well, that explains a lot.

Tidak menghairankan kerana francais filem Transformers seperti semua sedia maklum, juga terkenal dengan teknik CGI dan letupan demi letupan demi letupan untuk memastikan penonton kekal terpaku di kerusi, kemudian keluar dari panggung dan berkata, "That shit was awesome!"

Sejujurnya, aku hampir terlena sewaktu menghampiri pertengahan tayangan. Kebosanan menjadi punca utama namun faktor keletihan juga membuatkan aku tidak mampu memberi sepenuh perhatian terhadap jalan cerita.

Tidur yang tidak mencukupi. Jam biologikal tunggang-langgang. Perkara ini turut dikongsi oleh mereka bertiga. Sepul beritahu, semenjak memulakan latihan industri, dia masuk tidur seawal 12 tengah malam atau paling lewat, 1 pagi. Supaya mendapat rehat secukupnya untuk menghadapi rutin 8-5 setiap hari.

Oh boy, welcome to Hell.