Aku pernah kata kepada F suatu masa dahulu, "Kau percaya kalau aku kata aku tulis 100 surat cinta untuk kau?"
F angguk dan kata dia percaya. Dia percaya dan tidak meragui, malah yakin kepada aku sepenuh hati. Mujur F tidak pernah bertanya di mana surat-surat cinta tersebut.
Kerana F tidak tahu, sehingga detik ini, bahawa aku sebenarnya tidak pernah menulis 100 surat cinta untuknya.
Aku tidak pasti kenapa aku bertindak sedemikian. Mungkin ketika itu aku begitu terdesak untuk memenangi hatinya. Sehingga tergamak membiarkan dia mempercayai kata-kata manis yang aku lafazkan.
Aku cuma pernah tulis sebuah surat cinta kepada F. Surat itu aku bacakan untuknya, sewaktu kami berdua duduk di hadapan rumah, dinaungi langit gelap, diselangi senyum ketawa, dilatari malam pekat, disinari cahaya bulan kusam.
Seumur hidup aku,
belum pernah aku tulis
sebuah surat cinta penuh jujur,
kecuali hanya untuk F.
Aku tidak mampu untuk mengubah kesilapan masa lampau. Juga tidak mampu mengubah takdir yang sudah tertulis untuk kami berdua. Tetapi aku berharap, dengan sebuah surat cinta itu, mampu menyempurnakan 99 surat cinta yang tidak pernah wujud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan