Kau tiba di sebuah bank. Penuh sesak. Tak peduli dengan kekalutan manusia yang berbaris panjang di hadapan mesin keluar/masuk wang. Kau segera ke kaunter pertanyaan.
"Saya nak bukak akaun simpanan," kau kata, sebelum tersedar bahawa yang sedang duduk melayan pertanyaan pelanggan itu adalah kenalan sewaktu zaman sekolah menengah.
Kau mengelak daripada cuba berbual atau bertanya khabar. Kau takut dia akan bertanya soalan-soalan yang kau tidak gemar. Sebab itu bila dia tanya, "Kau buat apa sekarang?", kau berdalih dan kata, "Aku study lagi."
Walhal kau sudah tamat pengajian 6 bulan lepas.
Kau dapat nombor giliran. Nombor 32. Nombor semasa adalah 26. Kau mengeluh. Mesti lambat punya, terdetik dalam hati. Kau tak suka menunggu, dan dibiarkan terawang-awang oleh ketidaktentuan. Kau sentiasa dahagakan jawapan. Kau mahu sentiasa berada dalam kawalan.
Kalau kau mampu merampas Masa dari Tuhan, pasti kau akan lakukan.
Tapi kau tidak mampu. Dan tidak akan pernah mampu. Dan kau terus menunggu. Selama hampir 20 minit. Sebelum nombor dipanggil oleh seorang perempuan Benggali. Kalau tidak kerana tanda nama yang terlekat di dada sebelah kirinya, pasti kau ingat dia seorang India Muslim.
Kau duduk. Sebelum disuruh mengeluarkan kad pengenalan. Perempuan itu tanya soalan retorik, "You nak bukak akaun simpanan?" Kau angguk perlahan.
Untuk membeli barang secara talian dengan lebih mudah, perlukan sebuah akaun simpanan untuk melakukan transaksi. Sebelum ini kau menggunakan akaun seorang kawan untuk urusan jual beli.
Kau tidak suka beratur dan berurusan dengan pekerja di kaunter. Kau lebih rela berurusan dengan mesin dan komputer. Jadi kau buka akaun simpanan untuk membeli buku-buku yang kau suka dan buku-buku yang sukar didapati di pasaran.
Perempuan itu bekerja pantas dan cekap. Segala urusan siap dalam masa tak sampai 10 minit. Kau ucap terima kasih setelah selesai.
Kau pulang ke rumah. Dan tak sabar untuk menggunakan kemudahan akaun yang baru kau buka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan