Khamis, 3 Mei 2012

Goodbye great weekend (4)

Mak Njang sekeluarga datang ke rumah Pak Cik setelah mengetahui aku berada di sini sepanjang hujung minggu. Mereka singgah bermalam pada malam Sabtu dan bercadang untuk menghabiskan sisa hujung minggu di Pesta Buku pada keesokan harinya.

Rancangan asal, aku ingin pergi seorang diri tanpa bertemankan sesiapa. Namun oleh kerana mereka juga mahu pergi, aku batalkan rancangan tersebut. Sep duit sikit kalau tumpang diorang, boleh beli buku banyak-banyak, fikirku.

That morning, she prepared a nice breakfast for us. Hidangan ringkas nasi goreng kampung dan pulut durian dan Nescafe O untuk mengalas perut (walaupun aku tak pasti dari mana pulut durian muncul). Sarapan pagi yang sungguh menyelerakan dan membuatkan aku mahu merangkak semula ke katil.

Waktu kecil dahulu, Mak Njang boleh diibaratkan sebagai manusia paling garang pernah aku jumpa. Berkubang dalam parit bermain selut, menyauk ikan gapi menggunakan penapis serbuk kopi, menghisap rokok daun kepunyaan Tok Wan dalam kebun getah dan bermacam lagi. Jika aku dan sepupu yang lain melakukan perkara-perkara nakal tersebut kemudian kantoi, kami lebih takut dengan Mak Njang lebih dari sesiapa. 

Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Hampir 30 minit dihabiskan dengan melilau mencari tempat parkir kenderaan. Perlu berjalan kaki selama lima minit di bawah terik mentari sebelum sampai di pintu masuk utama. 

Rombongan bas dari beberapa buah sekolah turut dilihat menurunkan pelajar mereka berhampiran hadapan pintu masuk utama. Ini aku tahu berdasarkan kepada pakaian seragam yang mereka pakai.

Manusia tidak putus-putus keluar masuk dari dewan. Tatkala melihat lautan manusia yang berada dalam dewan, membuatkan aku secara harfiah berasa sesak nafas. Mild claustrophobia membuatkan aku ingin lari dari pandangan orang ramai. Sungguh tidak selesa sewaktu berlaga bahu dan berselisih mata dengan wajah yang berbagai. Ada yang senyum. Ada yang tidak.


Di balik ratusan booth yang dibuka, aku terjumpa senaskhah buku Vonnegut bertajuk Armageddon in Retrospect dan juga beberapa buah buku Kerouac. Tetapi melihat pada tanda harga yang dipaparkan, "Bloody hell, mahal gila. Diskaun 40% pun still mahal lagi."

Dengan rungutan itu, aku letak buku-buku tersebut di rak semula. Buku-buku karya Orwell dan Coelho juga ada. Malah terlalu banyak judul buku oleh penulis-penulis terkenal yang boleh didapati di sini. Itu belum termasuk lagi buku-buku akademik dan ilmiah untuk setiap peringkat umur.

I spent nearly 4 hours there. Melompat dari satu booth ke satu booth yang lain sambil mencuba nasib mencari buku Zits Sketchbook, Calvin and Hobbes dan New Malaysian Essays 1 & 2. Namun lain yang dicari, lain pula yang dibeli.

Juga terserempak kelibat beberapa orang manusia dari laman sosial yang aku kenal tetapi selaku pseudo-antisosial tegar, perasaan untuk bertegur sapa hampir tidak wujud. Oleh kerana kehadiran aku di Pesta Buku ini tidak memberi sebarang nilai signifikan kepada sesiapa, maka ya, aku terus berlalu pergi.

Tiada ulasan: