Jumaat, 29 April 2011

Sedatif Imaginasi Terlarang (6)

Aku tersedar dalam samar gelap. Aku bangun, lihat sekeliling dan tersedar ada rangka mayat di sebelah.

“Mayat siapa ni?” hati aku berbisik.

“Mayat kau lah,” ada suara menyapa.

Aku toleh ke arah suara. Seorang lelaki dengan segelas wain di tangan. Juga sedang menghembus asap rokok berkepul-kepul.

“Excuse me?” aku cuba menjadi manusia yang sopan.

“Itu mayat kau,” dia ulang semula, “kau dalam kubur sekarang. Takkan tak perasan?”

“Eh, bukan kubur sepatutnya gelap ke?” aku tanya.

“Uish, mana ada,” dia sanggah, “okay je kubur kita terang benderang.”

Betul. Kubur aku tak gelap malah terkesan luas seluas-luasnya. Tambah pelik, ada hiasan dalaman sana sini menghiasi dinding kubur. Ada mural celaru yang terpalit di dinding. Lebih kurang sama seperti yang ada rumah aku. Kemudian, aku belek badan aku. Oh, ini rupanya kondisi roh. Patut pun aku tak cam rangka mayat di sebelah aku sebentar tadi. Aku sudah bertukar menjadi roh.

Aku teringat. Aku mati disebabkan kemalangan dan nyawa aku berakhir di atas katil hospital. Itu adalah perkara terakhir yang aku masih ingat sebelum tersedar bangun di dalam alam barzakh.

“Kau tak pergi jenguk keluarga kau ke?” dia tanya sambil meneguk wain.

“Boleh ke?” aku tanya, was-was.

“Mestilah boleh. Dulu rajin jugak aku melawat diorang. Tengok macam mana hidup diorang tanpa aku,” dia beritahu.

Mendengar itu, jadi aku ambil keputusan untuk menjenguk keluarga aku. Aku rindukan mereka. Dan aku mahu tahu, apakah mereka masih merindui aku. Sesampai di rumah, aku melangkah masuk. Aku suka perasaan pulang ke rumah. Tenang dan mendamaikan, atas faktor apa, aku tidak tahu.

Sayang sekali, tiada siapa di rumah melainkan kucing peliharaan. Mungkin Ayah keluar bekerja dan yang lain masih berada di sekolah. Tanpa berlengah, aku terpa ke bilik kepunyaan aku. Bilik yang menjadi saksi betapa aku menghabiskan kebanyakan masa menulis dan membaca buku.  Aku tatap sekeliling dari atas ke bawah. Hiasan dalamannya sudah bertukar. Almari pakaian aku sudah tiada. Susun atur bilik sudah berubah. Rak buku aku pula sudah kosong. Ke mana pula mereka campakkan buku aku? Aku tak tahu. Kemudiannya, aku segera tinggalkan rumah dengan seribu satu persoalan.

Aku teringat pada kawan-kawan yang menemani aku di hospital sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kawan yang setia menghabiskan masa menanti saat-saat terakhir aku. Di mana mereka sekarang? Itu juga aku tak mungkin tahu, atau aku sendiri malas ambil tahu. Mujur aku tiada kekasih. Tetapi jika ada, aku pasti akan ke rumah kekasih aku, untuk menyatakan rasa Cinta yang tak tertanggung.

Celaka, lupa pula. Aku sudah mati. Sudah menjadi roh. Keberadaan aku di dunia sudah hilang, tak bermakna lagi. Mereka tak mampu rasai kehadiran aku. Apa gunanya meluahkan rasa Cinta ketika semuanya sudah terlewat?

Aku ambil keputusan untuk pulang ke kubur. Tempat di mana sepatutnya aku berada. Tak apa lah, lain kali aku pasti akan melawat mereka, aku monolog sendirian. Aku rebahkan badan bersandarkan dinding kubur. Cuba bermain dengan perasaan sendiri. Aku toleh semula ke arah lelaki tadi. Aku lihat lelaki tadi masih leka dengan gelas wain di tangan. Dasar pemabuk! Tetapi itu tak apa, selagi tak mengganggu aku.

“Macam mana?” dia tanya.

“Macam mana apa?” aku tanya semula.

“Kau pergi jumpa siapa tadi? Keluarga? Kawan? Kekasih?”

“Hmmm,” aku mengeluh, “malas nak cerita. Membosankan.”

“What’s your name?” aku tanya, cuba untuk berkenalan.

“Jack,” dia balas ringkas sambil tersenyum. Menyambut tangan yang aku hulurkan untuk bersalaman. Dia menghulurkan segelas wain kepada aku. Aku ambil dan teguk. Ahh, Burgundy wine. Nais one!

Eh wait a minute. Kenapa namanya tidak berbunyi seperti seorang Muslim?

“Jack?” aku kerut dahi. Mahukan kepastian.

“Ya, Jack Kerouc,” dia beritahu nama penuh.

Aku bingkas bangun dan berlari melihat batu nisan. Dan aku lihat sekeliling. Lidah aku serta-merta kelu.

Oh Tuhan! Aku di tanah perkuburan apa ini? Dan… dan… ini kubur siapa?!!

Tiada ulasan: