"Sat lagi mai rumah. Pak Cik hang kirim barang," Mak Chaq jemput aku.
"Haa," aku sambut, dalam loghat Utara, "petang sikit la baru pi. Hangat tengahari ni."
Sewaktu kecil, aku kerap ke rumahnya, yang aku bahasakan sebagai Mak Chaq. Dulu, tiap kali cuti sekolah, aku pasti mencuri sedikit masa untuk tinggal di rumahnya kerana ingin bermain dengan sepupu aku. Melakukan perbuatan nakal bersama.
Sampai di rumahnya, aku tutup enjin, beri salam dan terus masuk melalui pintu terbuka.
"Farid mana?", aku cium tangannya sambil memulakan perbualan, bertanyakan tentang sepupu aku.
"Tak tau kat dia. Pi mana hala, dari pagi tadi duk merayap."
Aku ketawa kecil. Aku juga begitu, beberapa tahun dahulu. Rumah hanya jadi tempat persinggahan untuk mandi, tukar baju dan makan. Tetapi itu dulu lah.
"Pak Cik pi mana hari tu?", aku tanya lagi.
"Pak Cik hang pi Beijing. Dia bawak balik beg sorang satu dengan apa--
"Pi sana buat apa?", aku cantas.
"Kursus."
Bila berborak dengan keluarga sebelah Ibu, aku bertutur loghat Utara dengan mereka. Dan bila berborak dengan keluarga sebelah Ayah pula, aku bertutur loghat Perak. Di rumah, kadangkala aku bertutur juga loghat Utara dengan ahli keluarga. Cuma tidak begitu pekat. Malah dicampur-campur pula dengan loghat Perak. Selalunya di dalam perbualan seharian dengan manusia lain, aku hanya gunakan bahasa baku. Walaupun kadangkala terkeluar juga sedikit sebanyak loghat Utara dan Perak.
"Hang bila sambung balik?", dia tanya.
"Sambung apa?", aku soal semula, kurang jelas.
"Sambung mengaji," dia balas.
"Ohh," aku sambut, "5 hari bulan, kot."
Lagi satu, bila aku pulang ke kampung di Sungai Petani setiap kali musim perayaan. Mereka (pakcik dan makcik) pasti sambut aku dengan soalan canggung.
Contoh, semasa pulang ke kampung berhari raya, mereka komen tentang muka aku. "Uish, besar dah hang. Sat ja rasa. Makan apa dekat sana? Muka sampai naik bulat ni."
Itu belum lagi soalan oleh mereka seperti, "Hang mengaji tingkat berapa la ni?". Walhal aku sudah lama tinggalkan bangku persekolahan dan hanya tinggal beberapa semester sahaja lagi untuk disudahkan. Punbegitu, aku layan juga soalan mereka. Mungkin kerana lama tak bersua muka, menyebabkan mereka lupa bahawa aku juga sedang membesar.
Selesai membungkus barang kiriman, aku minta diri untuk pulang.
"Eh, tunggu sat," dia kata, "Pak Cik ada kirim Al-Quran untuk Aisyah"
"Al-Quran? Yang ada di rumah pun tak terbaca," aku kata. Dalam hati.
Jadi, aku ambil buku tebal itu yang dibalut kemas dengan kertas warna. Aku selak helaiannya. Bukan Quran rupanya tetapi kamus terjemahan Arab-English.
Al-Quran dan kamus terjemahan Arab-English adalah dua perkara berbeza, mustahil serupa. Aku ketawa kecil. Dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan