Sembilan orang satu rumah. Setiap seorang seribu macam perangai. Seribu macam kerenah.
But it's okay. Sekurang-kurangnya rumah kami disinari gelak tawa saban hari dan sentiasa penuh dengan muka keceriaan. Tiada sehari pun yang kami lalui tanpa gelak tawa. Hampir sepanjang masa kami berkelakuan tidak serius. Tidak serius di sini bukan bermaksud kami berperangai seperti kanak-kanak 6 tahun, tetapi kami tahu untuk bergembira dan tahu bila masanya untuk serius dan bila masanya untuk berhuha-huha.
Untuk permulaan semester ini, rumah kami sudah ada televisyen dan mesin basuh. Ianya kelengkapan asas perkakas rumah. Bukan apa, selain faktor hiburan, kerja kami juga semakin mudah. Tak perlu lagi berpeluh-peluh membasuh baju atau berhabis duit menghantar baju kotor ke dobi. Televisyen pula walaupun menawarkan rancangan hiburan serba membodohkan, tetapi bagus juga ada sesuatu untuk ditonton. Menonton lakonan kayu Nora Danish misalnya. Atau menonton rancangan kartun The Penguins of Madagascar (aku selalu ketawa melihat karektor gampang King Julien).
Semester ini, kucing-kucing juga sudah kurang kelihatan di sekitar kawasan rumah kami. Jika ada pun, hanya kucing-kucing liar yang selalu bergaduh berebutkan pasangan mengawan. Kucing semester lepas, Laila sudah lama tak kelihatan. Mungkin sudah mati. Manakala, kucing yang baru kami jumpai, Budu juga sudah mati dilanggar motosikal (damn you!).
Semester ini, jiran di hadapan rumah kami juga sudah bertukar jantina. Jika dulu, sekumpulan pelajar lelaki UiTM menyewa di situ tetapi sekarang sekumpulan pelajar perempuan dari sama ada UTP atau UiTM pula masuk menyewa di situ. Pernah juga aku jenguk-jenguk untuk lihat muka mereka (dengar khabar muka mereka boleh tahan), tetapi sampai sekarang tak kesampaian. Tak ada rezeki.
Ketika menulis ini, aku sudah 10 hari memulakan semester baru. Dan paling mengujakan, aku belum lagi menjamah makan tengahari di restoran Mamak. Selera aku sedikit sebanyak sudah berubah, bosan dengan kari dan ayam goreng. Mungkin juga aku bosan melihat muka selekeh si Mamak. Tetapi makanan restoran Melayu juga membosankan (ditambah pula tak sedap dan mahal).
Tak banyak yang berubah sebenarnya. Kami masih lagi berjaga lewat malam, dan hanya mula tidur selepas pukul 3-4 pagi. Kemudiannya perlu bangun seawal 6 pagi (oh great, tidur 3 jam!) dan masuk ke kelas dengan muka mamai dan dibuai-buai perasaan mengantuk.
Kami masih juga tak pandai menepati masa. Kadangkala, kawan-kawan perempuan pelawa kami masuk rumah eh eh silap, makan bersama beramai-ramai. Masalahnya seperti aku katakan tadi ialah kami tak pandai menepati masa. Janji untuk makan bersama pukul 8.30 malam tetapi kami hanya muncul sekitar pukul 9 malam. We failed badly in our time management. Tetapi kami tetap senang hati menerima pelawaan makan malam bersama mereka. Berjumpa untuk mengusik dan mengenakan mereka. Kami adalah pakar dalam bab itu. Haha.
Kami juga masih kerap turun ke Ipoh. Menikmati semangkuk mee kari atau mee kicap lewat malam. Jika ada kelapangan hujung minggu, pasti kami pergi nikmatinya. Kami serumah panggilnya mee syamuk (walaupun ianya jauh berbeza dan tak ada kena mengena dengan mee syamuk di pekan Parit). Kami (aku, Kiki, Yo, Meon dan lain-lain) merancang untuk habiskan hujung minggu kami suatu hari nanti dengan menjelajah negeri Perak mencari makanan yang sedap.
Travel plus food sounds soooooooo exciting, aite?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan